IKLAN PENAJA

PENINGGALAN SEJARAH



Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan

        Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan terletak di Bandar Melaka dan berhampiran dengan kesan-kesan sejarah yang lain seperti Kota  A Famosa dan replika Istana Kesultanan Melaka.Di hadapan memorial ini ialah Dataran Pahlawan.
       Bangunan ini dibina pada tahun 1911. Sebelum itu bangunan ini dikenali sebagai Kelab Melaka. Bangunan ini juga digunakan untuk kegiatan sosial oleh golongan atasan dan pegawai-pegawai kerajaan pada zaman penjajahan Inggeris. Setelah merdeka, kelab ini dibuka kepada orang ramai. Kemudian pada 31 Ogos 1985, bangunan ini dijadikan memorial yang memuatkan segala dokumen tentang kemerdekaan.
     Memorial ini ditubuhkan untuk mengambil dokumen tentang kemerdekaan negara. Selain itu, pameran di bangunan ini meliputi Zaman Kesultanan Melayu Melaka hinggalah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Barang-barang yang dipamerkan meliputi dokumen, gambar, peta, perjanjian, teks ucapan, pita rakaman, minit-minit mesyuarat, majalah, keratan akhbar dan bahan-bahan artifek yang berkaitan dengan perjuangan untuk mencapai kemerdekaan.
   
Kota A Famosa
     Kota A Famosa atau Porta de Santiago bermaksud "Yang Termashur" dalam bahasa Portugis telah dibina oleh Portugis sebaik sahaja berjaya menawan Melaka pada tahun 1511. A Famosa terletak di Bandar Hilir, Melaka bersebelahan replika Istana Kesultanan Melaka dan Gereja St. Paul. Ia merupakan seni bina Eropah tertua yang masih ada di Asia.
     A Famosa dibina oleh orang Portugis selepas menakluk Melaka pada 1511. Di bina bagi menangkis serangan orang-orang Melayu,  Ia mengambil masa selama 5 bulan untuk di bina. Bahan benaan kota tersebut diambil dari runtuhan masjid dan bangunan-bangunan  lain yang musnah akibat peperanganPembinaan kota A Famosa atas arahan Alfonso de Albuquerque .
     Kota A Famosa yang disiapkan mempunyai empat menara, atau ketelom (bastion), dengan tembok setebal 2.4 meter hingga 4.5 meter. Menara-menara tersebut dikenali sebagai Baluarte San Pedro, Baluerte de las Virgenes, Baluerte Madre de Dios, Baluerte Santo Domingo, dan Baluerte de Santiago. Menjelang tahun 1583, Melaka telah menjadi bandar berkota yang dilindungi dengan tujuh puluh meriam ke semua arah.
     A Famosa diperluaskan ke kawasan berhampiran dan meliputi penempatan Eropah. Kawasan itu termasuklah Jalan Kota, Jalan Gereja, Jalan Mahkamah & Jalan Istana. Penjajah Portugis turut menjadikan ini satu penempatan Kristian dengan 5 gereja, tempat beribadat, biara, hospital dan sebagainya. Bagaimanapun, kota ini gagal menghalang Belanda pada kurun ke-17. Dengan bantuan rakyat tempatan dan Melayu Johor, serangan telah dilancarkan sebelum Belanda berjaya merampas Melaka.
     Kota A Famosa dibina sebegitu kukuh sehinggakan ia membantu Portugis untuk menangkis semua bentuk serangan. Untuk menakluk Melaka, pasukan Belanda mengepong kota tersebut selama lima bulan, sementara penduduk yang terperangkap di dalamnya terpaksa memakan kucing, tikus, dan dalam satu kes seorang wanita memakan bayinya yang mati. Akhirnya, pada 14 Januari 1641, pihak Belanda menyerbu melalui Pintu Santo Domingo Gate, yang menjelang masa itu mengalami korban lebih 7,000, akibat kebuluran, penyakit dan tembakan.
     Kota A Famosa yang rosak teruk dalam pertempuran telah diperbaiki sementara Porta de Santiago yang merupakan pintu utamanya digantikan dengan logo Syarikat Hindia Timur Belanda. Selepas menawan kota tersebut, pihak Belanda membaiki dan mengubah suai, dan meletakkan jata mereka di atas pintu pagar yang masih kekal sehingga kini pada Porta de Santiago, satu-satunya pintu yang terselamat, dengan ukiran "Anno 1670".


Pentadbiran oleh British
       Belanda telah menyerahkan Melaka kepada British . Putera William of Orange telah memerintahkan  semua jajahan takluk Belanda menerima tentera British,  Ia bagi menghalang Belanda dari jatuh ke tangan Perancis. Akibatnya, pihak British berjaya menguasai Melaka pada 1795 tanpa sebarang pertempuran.
     British tidak berminat menyimpannya, ataupun membiayai penempatan tentera bagi mempertahankan Melaka yang dianggap milik sementara dan perlu dipulangkan kepada pihak Belanda selepas perangMr. Robert Farquhar iaitu Leftenan Gabenor Pulau Pinang dan juga Gabenor Melaka antara 1803 hingga 1818, telah membuat cadangan bagi memusnahkan kota A Famosa kepada Kerajaan Inggeris di India.


     Beliau menyatakan bahawa penyelenggaraan dan pertahanan kubu tersebut hendaklah dikecilkan dan memberikan dua sebab utama, iaitu hasil yang diperolehi oleh Melaka tidak mampu membantu membiayai kos penempatan tentera 'sepoy' dan pengecilan itu akan dapat membantu memajukan Pulau Pinang dengan memindahkan penduduk Melaka ke Pulau Pinang. Maka pada awal 1804, beliau dengan tegas mencadangkan agar Melaka dihapuskan dari muka bumi dengan semua penduduk Melaka diarah supaya dipindahkan ke Pulau Pinang dan Kota Famosa dimusnahkan bagi mengelak ia dikuasai oleh pihak lawan.
      Dengan cadangan tersebut, Kerajaan Inggeris di India mengarahkan Kota A Famosa yang terletak di Bandar Hilir, Melaka dihancurkan. Kerja merobohkan Kota A Famosa bermula pada 10 Ogos 1807. Pada awalnya dia memerintahkan pesalah untuk merobohkan Kota A Famosa batu demi batu dengan menggunakan pemungkis dan besi penyungkil. Apabila tembok yang sesetengahnya mencecah 4.5 meter kelihatan terlalu kukuh untuk ditanggalkan, dia memutuskan bagi memusnahkan Kota A Famosa dengan menggunakan ubat bedil. Dia memerintah lubang digali di sekeliling kaki kota dan meletupkan Kota A Famosa, menyebabkan batu sebesar rumah berterbangan dan jatuh ke laut. Hampir kesemua kubu, tembok-tembok, Hospital Besar, dua tempat menyimpan beras, tempat kediaman dan enam bilik simpanan telah diletup dan diratakan.
     Semasa kerja-kerja pemusnahan telah pun berlaku dengan rancaknya, Sir Stamford Raffles seorang kaki-tangan kerajaan yang bercuti sakit telah datang ke Melaka atas jemputan William Farquhar. Apabila mengetahui mengenai perobohan Kota A Famosa, beliau telah menulis surat kepada Kerajaan Inggeris di Pulau Pinang dan India dengan menyatakan bahawa pemusnahan Kota Famosa tidak patut dilakukan. Beliau telah memberi sebab-sebab tertentu, pertamanya jika Inggeris membiarkan Melaka, pihak lain akan mendudukinya, sudah pasti ia akan merugikan Pulau Pinang, kedua Melaka itu sendiri mempunyai nilai sejarah dan mentadbirkannya tidak memerlukan perbelanjaan yang banyak, manakala yang ketiga penduduk-penduduk Melaka tidak perlu dipindahkan kerana sebelum Belanda meninggalkan Melaka, Inggeris telah pun memerintahkan penduduk Melaka supaya terus tinggal di situ. Beliau turut menyatakan bahawa Inggeris tidak perlu meninggalkan Melaka hanya kecuali dipaksa.
      Cadangan Raffles itu telah diterima dengan baik oleh Kerajaan Inggeris tetapi ia sudah terlambat kerana hampir seluruh kota tersebut telah musnah. Pemusnahan Kota 'A Famosa' pada hari ini dalam tahun 1807, telah memusnahkan hampir seluruh kota itu, dan hanya meninggalkan satu pintu kotanya yang dapat dilihat hingga hari ini, iaitu Porta de Santiago.
     Pihak British kekal di Melaka sehingga tahun 1818. Apabila berakhirnya peperangan Napoleon, Melaka dikembalikan ke tangan Belanda (tanpa Kota A Famosa). Melaka kekal di tangan Belanda selama tujuh tahun berikutnya, sehinggalah perjanjian London 1824, apabila mereka menukarkan Melaka dengan Bangkahulu (Bencoolen) di Sumatra.

        Kota St. John: Dibina semula oleh pihak Belanda semasa suku ketiga abad ke-18, kubu ini mempunyai meriam yang mengadap ke tanah besar kerana pada masa itu, serangan ke atas Melaka datang terutamanya dari tanah besar dan bukan dari arah laut.
   
      Gereja St. Peter  
 Dibina pada tahun 1710 semasa pemerintahan Belanda di Melaka, ia merupakan gereja Katolik tertua di Malaysia. Dinding depan dan perhiasannya adalah penggabungan seni rekabentuk timur dan barat. Locengnya di bawa khas dari Goa pada tahun 1608


      Gereja St. Paul 
     Dibina pada tahun 1521 oleh Kapten Portugis yang bernama Duarte Coelho, gereja ini yang dinamakan "Our Lady of The Hill" kemudiannya ditukar oleh pihak Belanda kepada tempat persemadian bangsawan dan di namakan "Gereja St. Paul". St. Francis Xavier telah dipelihara di dalam perkuburanterbuka gereja ini pada tahun 1553 sebelum dibawa dengan kapal ke Goa, India.


       Gereja Christ
     Dibina pada tahun 1753, struktur gereja ini melambangkan seni rekabentuk Belanda yang tulin. Bangunan ini mengandungi bangku gereja yang dibuat dengan tangan, siling cahaya matahari yang dibina tanpa sambungan, kitab Injil tembaga, batu nisan yang ditulis dalam bahasa Armenia dan lukisan "Last Supper".


 Gereja St. Francis Xavier
     Dibina pada tahun 1849 oleh Paderi Farve, seorang rakyat Perancis, menara gereja ini dibina khas bagi memperingati St. Francis Xavier. Dikenali sebagai "Mubaligh Sulung di Timur" (Apostle of the East), St. Francis Xavier dikenang dengan kerja-kerja dakwah menyebarkan agama Katolik di Asia Tenggara pada abad ke-16.


Bangunan Stadhuys

      'Bangunan Stadthuys' ("dewan perbandaran" dalam bahasa Belanda) ialah sebuah binaan bersejarah terletak bersebelahan dengan Gereja Christ di Jalan Laksamana, Melaka, Malaysia. Bangunan ini dibina pada tahun 1650sebagai penempatan rasmi Gabenor Belanda dan Timbalan Gabenor, di mana struktur bangunan ini melambangkan seni rekabentuk Belanda yang halus.
     Bangunan ini juga mempunyai catatan sejarahnya di bidang pendidikan, yang mana pada abad ke-19 ketika pemerintahan Inggeris, sebuah sekolah yang dikendalikan oleh golongan paderi dikenali sebagai Malacca Free School dibina di perkarangan Bangunan Stadthuys. Ketika itu pendidikan sekolah diberikan percuma oleh Inggeris. Bagaimanapun kebanyakan pelajar di sekolah itu terdiri daripada anak-anak golongan Cina yang kaya.
Catatan sejarah menunjukkan sepucuk surat yang bertarikh 19 April 1825, menyatakan betapa perlunya diwujudkan sebuah sekolah Inggeris di Melaka. Surat itu dikirimkan kepada majlis perbandaran yang ditandatangani oleh wakil gereja, Encik J. Humprey, J.W. Overee dan A.W. Baumgarten. Akhirnya sekolah itu dibuka pada 7 Disember 1826 dengan hanya 18 orang pelajar. 
      Pengetua Malacca Free School yang pertama ialah Encik T.H. Moore.
Tidak lama kemudian bilangan pelajar di sekolah itu meningkat sehingga 200 orang. Waktu belajar bermula dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari dan disambung dari jam 2 petang hingga jam 4 petang. Bilangan pelajar Melayu pada masa itu tidak ramai kerana kebanyakan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah Melayu atau sekolah agama. Walaupun bahasa pengantarnya ialah bahasa Inggeris, bahasa-bahasa lain seperti Bahasa Melayu, Bahasa Portugis dan Bahasa Cina juga diajar.
      Pada bulan Ogos 1878, kerajaan British mengambil alih pentadbiran sekolah tersebut daripada golongan paderi dan menamakannya Malacca High School atau Sekolah Tinggi Melaka. Pengetuanya yang baru ialah Encik A. Armstrong. Pada tahun 1931, Sekolah Tinggi Melaka berpindah ke tapak barunya di Jalan Chan Koon Cheng hingga sekarang.
Bangunan itu kini menempatkan Muzium Sejarah dan Etnografi, Galeri Laksamana Cheng Ho, Muzium Sastera, Muzium Pemerintahan Demokrasi, dan Muzium Yang Di-Pertua Negeri. Paparan harian muzium ini ialah pakaian pengantin tradisional dan artifak dari zaman kegemilangan Melaka.


    Perkuburan Belanda
      Perkuburan Belanda yang terkenal ini terletak di Bandar Hilir , Melaka bersebelahan dengan replika Istana Kesultanan Melaka
    Kubur ini telah digunakan pada akhir suku kurun ke-17. Kini, 5 kubur Belanda dan 33 kubur British terdapat didalam kawasan ini.
Kawasan perkuburan ini telah digunakan pada dua peringkat di antara 1670-1682 dan kemudian pada 1818-1838.
     Di antara kubur yang menarik ramai perhatian ramai pelancong ialah kubur yang mempunyai menara yang tinggi di atasnya di mana dua orang pegawai telah mati semasa Perang Naning (1831-1832)




Makam Hang Jebat
     Makam Hang Jebat merupakan tempat persemandian Hang Jebat, salah seorang dari lima pahlawan terkenal di Melaka.Makam Hang Jebat ini terletak di Kampung Pali, Di Jalan Gelanggang di bandar Melaka.


Makam Hang Kasturi
     Makam Hang Kasturi terletak di kawasan Jonker Walk juga dikenali sebagai Jalan Hang Jebat. Hang Kasturi merupakan antara sahabat Hang Tuah. Jika anda singgah di Kawasan Jonker Walk anda pasti menemui Makam Hang Kasturi diantara deretan bangunan-banggunan kedai disana.






Perigi Hang Li Poh

    Perigi Hang Li Poh atau juga dikenali sebagai Perigi Raja ini dibina pada tahun 1459 ,Dibawah arahan Sultan Mansur Shah Semperna nama isteri baginda, seorang puteri dari negara China, Puteri Hang Li Poh.
     Perigi ini tidak pernah kering dan merupakan satu-satunya punca air semasa musim kemarau Di waktu itu. Pihak Belanda membina tembok disekelilingnya pada tahun 1677 untuk memeliharanya sebagai perigi permintaan (wishing well).Ada yang berkata Kononnya sesiapa yang melontar duit syiling ke dalamnya akan kembali ke Melaka pada masa depan. Perigi ini terletak di Jalan Puteri Hang Li Poh.

Perigi Hang Tuah


     Perigi Hang Tuah terletak di Kampung Duyong, Melaka ini dikatakan mempunyai kaitan dengan Hang Tuah seorang pahlawan yang terkemuka di Nusantara ini di Zaman Kesultanan Melayu Melaka (1398 - 1511). Hang Tuah Yang dilahirkan di Kampung Duyung ini dipercayai menggali sendiri perigi ini untuk kegunaannya.
     Pada asalnya perigi ini adalah kecil tetapi lama kelamaan menjadi besar dan dalam. Perigi ini dikatakan tidak pernah kering, walaupun di musim kemarau panjang. Airnya sentiasa jernih dan dikatakan boleh menyembuhkan penyakit.